Langkau ke kandungan utama

Penipuan Pemulihan Dana

Pengenalan

Kehilangan wang akibat penipuan boleh mendatangkan kesan yang sangat buruk, dan penipu mengeksploitasi situasi terdesak ini dengan menawarkan perkhidmatan pemulihan dana yang palsu. Penipu (fraudsters) menyamar sebagai "ejen pemulihan," mendakwa bahawa mereka boleh membantu mangsa mendapatkan kembali mata wang kripto atau pelaburan mereka yang hilang—dengan syarat bayaran pendahuluan dikenakan. Penipuan ini menyasarkan mereka yang sudah pun menjadi mangsa, menjadikannya penipuan yang sangat memudaratkan. Artikel ini akan membantu anda mengenali skim penipuan sebegini dan mengelakkan kerugian yang lebih teruk. ​

Ringkasan (TLDR): Jika anda telah kehilangan dana akibat penipuan, berwaspada dengan "ejen pemulihan" palsu yang berjanji untuk mendapatkan kembali wang anda - dengan bayaran pendahuluan. Penipu ini mengeksploitasi mangsa buat kali kedua dan kemudian menghilang. Proses pemulihan yang sah tidak memerlukan pembayaran pendahuluan. Sentiasa sahkan sebarang perkhidmatan dan laporkan penipuan kepada pihak berkuasa.

Bagaimana Penipuan Pemulihan Dana Berfungsi

1. Menghubungi Mangsa

Penipu mengenal pasti mangsa dengan mengambil maklumat daripada forum dalam talian, media sosial, atau laman web aduan di mana mangsa telah berkongsi pengalaman mereka. Mereka juga mungkin merupakan penipu sama yang pada asalnya mencuri dana tersebut, tetapi kini menyamar di bawah identiti yang berbeza.

2. Menawarkan Perkhidmatan Pemulihan Palsu

Penipu menghubungi mangsa, mendakwa mereka mempunyai hubungan dengan institusi kewangan antarabangsa, penguatkuasa undang-undang, wakil perundangan atau penganalisis rantaian blok pakar yang boleh mengesan dan mendapatkan kembali dana yang hilang. Mereka mungkin membentangkan kisah kejayaan palsu atau memalsukan dokumen undang-undang untuk kelihatan sah. ​

3. Menuntut Yuran Pendahuluan

Penipu akan meminta pembayaran terlebih dahulu, selalunya dalam bentuk mata wang kripto, untuk menampung "yuran pemprosesan," "kos perundangan," atau "perkhidmatan pengesanan rantaian blok." Dalam sesetengah kes, mereka mungkin meminta pelbagai bentuk pembayaran dengan alasan wujudnya "kos luar jangkaan" tambahan semasa proses pemulihan. ​

4. Menghilang Selepas Pembayaran

Sebaik sahaja mangsa membayar, penipu sama ada berhenti membalas atau terus memperdaya mangsa dengan kemas kini palsu sambil menuntut lebih banyak yuran. Akhirnya, komunikasi terputus, dan mangsa kehilangan lebih banyak wang. ​

Tanda Amaran Penipuan Pemulihan Dana

  • Panggilan atau mesej yang tidak diminta daripada perkhidmatan pemulihan yang tidak dikenali atau individu yang mendakwa mereka boleh memulihkan dana anda.

  • Jaminan pemulihan 100%, yang mana adalah tidak realistik kerana transaksi mata wang kripto tidak boleh diterbalikkan.

  • Permintaan untuk pembayaran pendahuluan sebelum sebarang perkhidmatan diberikan.

  • Meminta pembayaran dalam mata wang kripto, menjadikannya lebih sukar untuk dikesan dan diterbalikkan.

  • Dokumen undang-undang palsu atau dakwaan yang tidak dapat disahkan berkenaan kerjasama dengan pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. (Khusus di Malaysia)

  • Taktik tekanan, seperti mengatakan anda mesti bertindak pantas atau berisiko kehilangan dana anda selama-lamanya. ​

Cara untuk Melindungi Diri Anda

1. Fahami Bahawa Mata Wang Kripto yang Hilang Sukar untuk Dipulihkan

  • Transaksi mata wang kripto adalah teragih (decentralized) dan tidak boleh diterbalikkan. Walaupun terdapat beberapa firma analitik rantaian blok yang bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang untuk mengesan dana, tiada perkhidmatan yang boleh menjamin pemulihan sepenuhnya. ​

2. Sahkan Sebarang Perkhidmatan Pemulihan yang Menawarkan Bantuan

  • Buat kajian mengenai syarikat atau individu yang membuat tawaran tersebut.

  • Semak dengan badan pemantau kewangan rasmi seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melihat sama ada syarikat itu dilesenkan. (Khusus di Malaysia).

  • Cari ulasan dalam talian atau amaran penipuan mengenai perkhidmatan tersebut. ​

3. Jangan Sesekali Membayar Pendahuluan untuk Pemulihan Dana

  • Perkhidmatan perundangan dan kewangan yang sah lazimnya beroperasi pada struktur yuran yang telus atau proses yang dikawal selia oleh kerajaan. Jika seseorang menuntut bayaran pendahuluan, ia berkemungkinan besar adalah satu penipuan. ​

4. Laporkan Penipu Pemulihan Dana

  • Jika anda mengesyaki wujudnya penipuan, laporkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM), atau pihak polis (JSJK – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) atau penguatkuasa undang-undang di negara anda yang berkaitan.

  • Kongsikan pengalaman anda di forum kesedaran penipuan untuk memberi amaran kepada orang lain. ​

Tindakan Jika Anda Mengesyaki Penipuan

  • Hentikan semua komunikasi dengan serta-merta.

  • Jangan hantar sebarang bayaran tambahan, tidak kira apa pun yang mereka janjikan.

  • Laporkan penipuan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

  • Hubungi pasukan sokongan bursa kripto anda (platform yang digunakan untuk membuat transaksi) untuk melihat sama ada sebarang tindakan boleh diambil.

  • Beri amaran kepada orang lain bagi menghalang lebih ramai mangsa daripada terpedaya dengan penipuan yang sama. ​

Kesimpulan

Penipuan pemulihan dana mengambil kesempatan ke atas mangsa yang sudah pun berada dalam kesusahan. Jika anda telah ditipu, berwaspada dengan sesiapa sahaja yang berjanji untuk mendapatkan kembali dana anda yang hilang, terutamanya jika mereka memerlukan bayaran pendahuluan. Sentiasa sahkan tuntutan dan laporkan aktiviti penipuan kepada pihak berkuasa. ​ Kekal termaklum dan kekal selamat!

Penafian

Hata komited untuk melindungi pelanggan kami daripada aktiviti penipuan. Kami tidak akan sesekali menghubungi anda di luar aplikasi atau platform kami untuk meminta butiran akaun anda, meminta pembayaran, atau mendesak anda untuk melakukan transaksi. Jika ada pihak berbuat demikian dengan menyamar sebagai kami, ia adalah satu penipuan - jangan percayakannya dan laporkan dengan segera. Semua mesej sebenar kami hanya dihantar melalui saluran komunikasi rasmi. ​

Kami sedia membantu, tetapi kami tidak dapat menjanjikan pemulihan ke atas dana yang telah hilang. Anda bertanggungjawab untuk memastikan maklumat anda kekal selamat dan melaksanakan usaha wajar (due diligence) ke atas individu yang berurusan dengan anda. Kami tidak bertanggungjawab ke atas kerugian akibat penipuan atau tindakan tanpa kebenaran yang dijalankan di luar platform kami. ​

Jika sesuatu kelihatan mencurigakan atau tidak kena, berhenti bercakap dengan mereka, jangan bayar apa-apa kepada mereka, dan maklumkan kepada kami melalui aplikasi kami. Anda juga boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau pihak penguatkuasa undang-undang tempatan.

Adakah ini menjawab soalan anda?