Pengenalan
Penipuan pelaburan terus berkembang, dan pada tahun 2025, penipu (fraudsters) menggunakan taktik yang semakin canggih untuk memperdaya individu agar menyerahkan wang dan/atau mata wang kripto mereka. Penipu sering menyamar sebagai penasihat kewangan atau broker, memberi tekanan kepada mangsa untuk membuat keputusan yang pantas, dan menuntut pembayaran mata wang kripto sebagai pendahuluan. Kebanyakan penipuan ini berasal daripada platform perdagangan antarabangsa atau luar pesisir (offshore), menjadikannya lebih berisiko kerana ketiadaan kawal selia dan jalan penyelesaian undang-undang. Artikel ini akan membantu anda mengenal pasti penipuan sebegini dan melindungi diri anda daripada menjadi mangsa.
Ringkasan (TLDR): Penipu menyamar sebagai penasihat kewangan atau broker, menjanjikan pulangan tinggi dan meminta deposit mata wang kripto sebagai modal untuk membiayai platform dagangan luar pesisir (offshore) mereka. Mereka menggunakan taktik tekanan untuk menggesa keputusan anda. Sentiasa sahkan peluang pelaburan, elakkan tawaran yang tidak diminta, dan jangan sesekali menghantar dana tanpa melaksanakan usaha wajar (due diligence).
Penipuan Pelaburan Umum yang Perlu Diberi Perhatian
1. Penyamaran sebagai Penasihat Kewangan atau Broker
Penipu sering menyamar sebagai penasihat kewangan yang sah, broker, atau wakil bank terkenal, firma pelaburan, atau bursa mata wang kripto. Mereka mungkin menghubungi anda melalui WhatsApp, Facebook, Telegram, atau panggilan telefon, dengan mendakwa menawarkan peluang pelaburan eksklusif dengan pulangan yang tinggi.
Tanda Amaran:
Mesej yang tidak diminta daripada seseorang yang mendakwa sebagai penasihat kewangan atau broker.
Ketiadaan kelayakan yang boleh disahkan atau profil syarikat yang palsu.
Permintaan untuk memindahkan perbualan ke saluran peribadi seperti WhatsApp atau Telegram.
Dakwaan bahawa mereka mempunyai "maklumat dalaman" mengenai pelaburan yang menguntungkan.
Penggunaan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, atau Bahasa Mandarin untuk kelihatan lebih meyakinkan. (Khusus di Malaysia)
2. Platform Perdagangan Palsu yang Memerlukan Pembayaran Kripto Pendahuluan
Platform perdagangan penipuan menjadi semakin berleluasa. Platform ini sering dikendalikan dari lokasi luar pesisir atau antarabangsa, menjadikannya hampir mustahil untuk pihak berkuasa Malaysia campur tangan. Penipu akan meyakinkan mangsa untuk mendepositkan mata wang kripto secara terus ke dompet mereka dan bukannya menggunakan kaedah deposit bursa atau platform yang sah. Realitinya, tiada perdagangan sebenar yang berlaku, dan mangsa akan kehilangan dana mereka.
Tanda Amaran:
Platform didaftarkan di bidang kuasa luar pesisir tanpa pengawasan kawal selia yang jelas.
Tiada deposit dibenarkan melalui kaedah pembayaran tradisional (kad atau pemindahan bank) ke bursa/platform yang dikawal selia.
Ketiadaan ketelusan mengenai syarikat di sebalik platform tersebut.
Tiada keupayaan untuk mengeluarkan dana setelah deposit dibuat.
Laman web yang tidak mempunyai tahap keselamatan yang sewajarnya (cth., tiada HTTPS, tiada butiran syarikat yang boleh disahkan).
Sokongan (endorsements) palsu daripada selebriti atau pempengaruh.
3. Tekanan Masa yang Mendesak untuk Bertindak Segera
Penipu mewujudkan rasa terdesak untuk menghalang mangsa daripada berfikir secara kritikal atau mengesahkan maklumat. Mereka mungkin mendakwa bahawa peluang pelaburan tersebut terhad pada masa tertentu dan anda mesti bertindak segera untuk mengelakkan daripada terlepas potensi keuntungan.
Tanda Amaran:
Kenyataan seperti "tawaran masa terhad," "peluang seumur hidup," atau "bertindak sekarang sebelum terlambat."
Tekanan untuk menghantar mata wang kripto dengan segera.
Menghalang anda daripada berunding dengan keluarga, rakan, atau profesional kewangan.
Dakwaan palsu bahawa Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah meluluskan pelaburan tersebut. (Khusus di Malaysia)
Cara untuk Melindungi Diri Anda
1. Sahkan Identiti Penasihat atau Broker
Semak sama ada mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM) atau badan kawal selia yang berkaitan.
Cari laman web rasmi syarikat mereka dan bandingkan butiran hubungan.
Hubungi syarikat tersebut secara terus melalui saluran rasmi untuk mengesahkan kesahihan mereka.
Semak ulasan dalam talian mengenai syarikat dan/atau perkhidmatan yang disediakan (cth., TrustPilot).
2. Kaji Selidik Platform Perdagangan
Berwaspada dengan platform perdagangan yang berpangkalan di bidang kuasa luar pesisir dengan sedikit atau tiada pengawasan.
Gunakan bursa/platform yang terkenal dan dikawal selia.
Cari ulasan dan aduan mengenai platform tersebut di forum tempatan seperti Lowyat.NET atau Senarai Makluman Pelabur SC. (Khusus di Malaysia)
Semak sama ada platform tersebut mempunyai pelesenan yang sah daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. (Khusus di Malaysia)
3. Jangan Sesekali Menghantar Kripto Pendahuluan kepada Pihak yang Tidak Dikenali
Platform perdagangan yang sah tidak memerlukan anda untuk menghantar dana ke dompet individu.
Sentiasa lakukan deposit melalui saluran deposit rasmi bursa/platform yang dipercayai.
4. Ambil Masa Anda dan Elakkan Taktik Tekanan
Peluang pelaburan yang sah tidak akan memerlukan keputusan yang tergesa-gesa.
Jika seseorang memberi tekanan kepada anda, berhenti seketika dan pertimbangkan semula sebelum membuat sebarang pembayaran.
Tindakan Jika Anda Mengesyaki Penipuan
Hentikan semua komunikasi dengan pihak yang disyaki sebagai penipu.
Laporkan penipuan tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM). (Khusus di Malaysia)
Beri amaran kepada orang lain dengan berkongsi pengalaman anda di laman web dan forum pelaporan penipuan.
Jika anda telah pun menghantar dana, hubungi pasukan sokongan bursa anda untuk melihat sama ada wujud sebarang pilihan untuk pemulihan.
Kesimpulan
Mempunyai kesedaran tentang penipuan pelaburan umum ini boleh membantu anda melindungi diri dan aset anda. Banyak platform pelaburan palsu beroperasi dari bidang kuasa luar pesisir, menjadikannya lebih berisiko. Sentiasa sahkan kesahihan penasihat kewangan, platform perdagangan, dan peluang pelaburan sebelum menyerahkan sebarang dana. Jika sesuatu dirasakan tidak kena, percayakan naluri anda dan lakukan kajian yang menyeluruh.
Kekal peka dan kekal selamat!
Penafian
Hata komited untuk melindungi pelanggan kami daripada aktiviti penipuan. Kami tidak akan sesekali menghubungi anda di luar aplikasi atau platform kami untuk meminta butiran akaun anda, meminta pembayaran, atau mendesak anda untuk melakukan transaksi. Jika ada pihak berbuat demikian dengan menyamar sebagai kami, ia adalah satu penipuan - jangan percayakannya dan laporkan dengan segera. Semua mesej sebenar kami hanya dihantar melalui saluran komunikasi rasmi.
Kami sentiasa sedia membantu, tetapi kami tidak dapat menjanjikan pemulihan ke atas dana yang telah hilang. Anda bertanggungjawab untuk memastikan maklumat anda kekal selamat dan melaksanakan usaha wajar (due diligence) ke atas individu yang berurusan dengan anda. Kami tidak bertanggungjawab ke atas kerugian akibat penipuan atau tindakan tanpa kebenaran yang dijalankan di luar platform kami.
Jika sesuatu kelihatan mencurigakan atau tidak kena, berhenti bercakap dengan mereka, jangan bayar apa-apa kepada mereka, dan maklumkan kepada kami melalui aplikasi kami. Anda juga boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau pihak penguatkuasa undang-undang tempatan.
